Singapura mengesahkan tiga lagi kes positif koronavirus, menjadikan jumlah keseluruhan di negara itu kepada 13.

Kes terbaharu termasuk seorang wanita berusia 31 tahun dari Wuhan yang tiba di Singapura pada 22 Januari. Dia merupakan rakan kepada individu keempat yang disahkan positif sebelum ini.

Dua lagi adalah wanita berusia 37 tahun dan 73 tahun dari Wuhan yang tiba di Singapura, masing-masing pada 22 Januari dan 21 Januari bersama keluarga.

Kesemua tiga kes baharu itu ditempatkan di bilik pengasingan di Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan.

LAPOR LANGSUNG: Hati-hati dengan wabak koronavirus!

Menteri Pembangunan, Lawrence Wong mengumumkan pada Khamis bahawa pihak berkuasa akan mengedarkan empat topeng muka kepada setiap keluarga di Singapura bermula Sabtu ini. Proses pengedaran dijangka selesai pada 9 Feb.

Bercakap pada sidang akhbar yang sama, Menteri Perdagangan dan Industri, Chan Chun Sing memberi jaminan bahawa Singapura mempunyai topeng yang cukup jika bekalan diuruskan dengan teratur.

Beliau menggesa orang ramai supaya tidak membuat pembelian panik kerana ia akan menjejaskan keseluruhan sistem penjagaan kesihatan.