Status positif HIV bagi 14,200 individu di Singapura termasuk maklumat sulit seperti nombor kad pengenalan dan nombor telefon mereka telah dibocorkan dalam talian, dedah Kementerian Kesihatan republik itu pada Isnin.

Portal berita Channel NewsAsia melaporkan, rekod data yang kini terdedah itu terdiri daripada 5,400 warga Singapura yang didiagnos dengan HIV sehingga Januari 2013, selain senarai 8,800 warga asing yang menghidap HIV sehingga Disember 2011.

Maklumat yang terbocor itu merangkumi nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon, alamat, keputusan ujian HIV dan rekod perubatan. Bagi warga asing, antara data sulit yang terdedah termasuklah maklumat permohonan kerja dan lawatan.

Lebih daripada itu, butiran 2,400 penama lain yang berkaitan dengan penghidap juga turut terbocor dan berisiko berada dalam akses umum.

Daftar HIV tersebut mengandungi maklumat tentang individu yang didiagnos dengan HIV, iaitu penyakit yang disenarai di bawah Akta Penyakit Berjangkit. Kementerian Kesihatan republik itu berkata pihaknya menggunakan daftar tersebut untuk menjejak penama dan menilai langkah kawalan dan pengurusan penyakit.

Semua maklumat itu kini dalam simpanan índividu yang tidak mempunyai hak ke atas daftar itu, iaitu warga Amerika Syarikat Mikhy K Farrera Brochez. Brochez telah dihantar pulanng dari Singapura pada pril 2018, selepas dia berdepan dakwaan kes penipuan dan kesalahan dadah serta dihukum penjara selama 28 bulan.

“Sementara akses kepada maklumat itu dapat dihalang, ia masih berada dalam tangan orang yang tidak sepatutnya, dan boleh terdedah kepada umum pada masa akan datang.

“Kami sedang berusaha dengan pihak yang berkaitan untuk mengimbas internet bagi sebarang tanda penyebaran maklumat itu," kata kenyataan berkenaan.