Singapura akan berhenti menerima Surat Perjalanan Kumpulan daripada rakyat Malaysia yang ingin memasuki Singapura, berkuat kuasa 1 Jan 2021.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) republik itu memaklumkan ia bagi mengukuhkan keselamatan dan kecekapan pelepasan imigresen di pusat-pusat pemeriksaan di Singapura.

Menurutnya, Surat Perjalanan Kumpulan itu adalah dokumen perjalanan yang dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia kepada kumpulan lima ke 20 warga Malaysia, sebagai pengganti pasport.

"Bagaimanapun, dokumen itu menimbulkan kebimbangan keselamatan kerana ia memudahkan perkongsian satu dokumen perjalanan oleh pelbagai pelancong," menurut ICA dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain Surat Perjalanan Kumpulan dari Malaysia, ICA tidak menerima apa-apa dokumen perjalanan kumpulan dari negara lain.

Pihak berkuasa itu menyatakan bahawa apabila ia bergerak ke arah penggunaan lebih banyak automasi dan biometrik pelbagai mod untuk pelepasan, surat perjalanan itu menimbulkan kebimbangan operasi kerana ia memerlukan kemasukan data secara manual bagi semua butiran pelancong menyebabkan masa pelepasan yang lebih lama.

"Pemegang Surat Perjalanan Kumpulan Malaysia juga tidak dapat menggunakan lorong automatik. Oleh itu, kami tidak akan menerima dokumen perjalanan ini untuk pelepasan imigresen di pusat-pusat pemeriksaan bermula 1 Jan 2021," katanya.

ICA menggesa pelancong Malaysia yang menggunakan Surat Perjalanan Kumpulan supaya memohon pasport sekiranya merancang untuk Singapura bermula 1 Jan 2021.

ICA menyatakan pihak berkuasa itu telah memaklumkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia mengenai rancangannya untuk menghentikan penggunaan surat perjalanan itu bagi pelepasan imigresen dan akan bekerjasama dengan jabatan berkenaan bagi pelaksanaannya.

-- BERNAMA