Singapura menyambut baik cadangan Malaysia untuk memulakan perbincangan mengenai Projek Keretapi Laju (HSR), demikian menurut Kementerian Pengangkutan (MoT) republik ini hari ini.

Kenyataan itu berkata, kerajaan Singapura telah menerima surat daripada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertarikh 23 Julai 2018.

Ia mendedahkan bahawa dalam surat tersebut, Azmin berkata bahawa kerajaan Malaysia sedang mengkaji butiran Projek HSR dan akan memulakan perbincangan dengan Singapura tidak lama lagi.

Kenyataan itu berkata, kerajaan Singapura telah meminta melalui saluran diplomatik sejak 1 Jun 2018 supaya kerajaan Malaysia memberi jawapan bertulis menjelaskan kedudukannya mengenai Projek HSR.

Kerajaan Singapura juga menyarankan agar jika kerajaan Malaysia berhasrat untuk membincangkan Projek HSR, perbincangan itu perlu dilakukan selewatnya 31 Julai 2018, katanya.

"Sehingga 1 Ogos 2018, Malaysia tidak mencadangkan tarikh mesyuarat kepada Singapura," kata MoT.

Mohamed Azmin dilaporkan berkata bahawa tarikh itu akan ditetapkan dan mesyuarat mungkin akan diadakan bulan ini.

BACA: Kerajaan akan cari jalan bayar Singapura jika HSR batal

Sementara itu, mengenai projek Sistem Transit Rapid (RTS), MoT berkata, ia "tidak mendengar berita dari Malaysia secara rasmi mengenai langkah yang dicadangkan bagi pembentukan syarikat usaha sama sebagai Pengendali Lingkaran RTS, dan berharap untuk menerima respons rasmi mereka tidak lama lagi. "

Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata, bahawa sebuah syarikat usaha sama akan ditubuhkan untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek, sebaik sahaja kelulusan diterima daripada Kabinet.

Kertas kerja mengenai projek itu akan dibentangkan kepada Kabinet dalam waktu terdekat, kata Loke.

BACA: HSR bukan RM55bil, ada kos tersembunyi tak didedahkan - Azmin

BACA: HSR dan perjanjian air tidak gugat hubungan erat Malaysia-Singapura


Menurutnya, walaupun kerajaan telah bersetuju secara prinsip untuk melaksanakan projek RTS, maklumat terperinci mengenai perkara itu masih diperlukan untuk dibawa ke Kabinet untuk kelulusan.

"Kami gembira kerana Malaysia tetap komited kepada Projek RTS Johor Bahru-Singapura.

"Singapura tetap komited untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia untuk memastikan kelancaran pelaksanaan Projek Lingkaran RTS," kata kenyataan itu.

SMRT Singapura dan Prasarana Malaysia sepatutnya telah menubuhkan sebuah syarikat usaha sama untuk bagi mengendalikan lingkaran berkenaan pada 30 Jun lepas.

-- BERNAMA