Pihak berkuasa Singapura pada Rabu mengumumkan langkah-langkah untuk menyokong tuan tanah yang mungkin menghadapi kekangan aliran tunai akibat daripada memberi pelepasan kepada penyewa seperti yang dicadangkan di bawah Rang Undang-Undang (RUU) COVID-19 (Langkah Sementara) (Pindaan).

Pihak berkuasa yang terlibat adalah Kementerian Kewangan (MOF) republik itu, Penguasa Hasil Mahsul Dalam Negeri Singapura (IRAS), Enterprise Singapore (ESG) dan Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS).

"Langkah ini akan membantu tuan tanah dengan komitmen pinjaman mereka yang sedia ada dan meringankan keperluan aliran tunai mereka," kata pihak berkuasa tersebut dalam kenyataan bersama di sini.

Kenyataan itu berkata langkah-langkah baharu itu melengkapkan langkah-langkah bantuan yang diumumkan oleh MOF, MAS dan industri kewangan sebelum ini.

MAS telah bekerjasama dengan bank-bank dan syarikat kewangan untuk meningkatkan langkah-langkah bantuan semasa untuk tuan tanah yang terjejas berikutan RUU COVID-19 (Pindaan).

"Ini adalah susulan kepada pengumuman oleh Kementerian Undang-Undang mengenai langkah-langkah bantuan sewa yang akan dibentankan di Parlimen di bawah RUU itu," katanya.

Kenyataan itu berkata ada rancangan untuk pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pemilik korporat yang lebih besar juga, termasuk amanah pelaburan hartanah (REIT) yang disenaraikan di Bursa Singapura (S-REITs).

Sementara itu dalam kenyataan yang berasingan, Persatuan Bank di Singapura berkata bank-bank di Singapura bersedia untuk menyokong tuan tanah yang terjejas dalam waktu yang sukar ini.

"Langkah-langkah pelepasan tambahan ini menunjukkan sokongan bank untuk tuan tanah individu yang menghadapi masalah aliran tunai sementara kerana mereka membantu penyewa mereka dengan bantuan sewa," kata Pengarahnya Ong-Ang Ai Boon.

-- BERNAMA