MEMANG ramai menjangka akan kalah, tetapi tiada sesiapa yang terfikir parti Buruh akan tersungkur seteruk ini pada Pilihan Raya United Kingdom 2019.

Selain dari faktor ‘Brexit’ – sentimen majoriti rakyat United Kingdom (selain Scotland) beriya-iya mahu menjayakan rancangan parti Konservatif di bawah pimpinan Boris Johnson berundur dari Kesatuan Eropah – usaha memburuk-buruk dan melabel pemimpin parti Buruh Jeremy Corbyn sebagai pro-Palestin dan anti-Yahudi (anti-Semite) membuahkan hasil.

Parlimen UK dibubar pada Rabu 5 November bagi pilihan raya ketiga dalam masa tidak sampai lima tahun di UK.

Tidak beberapa hari sebelum tarikh pilihan raya pada Khamis 12 Disember dan kempen sedang memuncak, pengundi digegarkan dengan surat terbuka dari Ketua Pendita (Chief Rabbi) Ephraim Mirvis terpampang di akhbar The Times bertarikh Nov 25 yang tanpa berselindung menyerang Parti Buruh atas tuduhan anti-Yahudi.

Dalam surat terbukanya, Mirvis membentang kerisauan masyarakat Yahudi yang ditemuinya dalam jelajah seluruh UK dan merata dunia.

Selain ancaman dari anasir berhaluan kanan dan kumpulan yang bertopengkan jihad, kegusaran yang sering ditimbulkan berkisar tentang masa depan kaum Yahudi dan Judaisma sekiranya parti Buruh memenangi pilihanraya UK dan menguasai parlimen di Westminster untuk tempuh lima tahun kehadapan.

Seterusnya, Mirvis yang berkedudukan ketua kaum Yahudi Ortodoks UK merayu; “Apabila Disember 12 tiba, saya mohon setiap orang mengundi mengikuti hati nurani. Tiada keraguan bahawa jiwa negara ini dipertaruhkan.”

Amaran terhadap malapetaka yang bakal dihadapi kaum Yahudi UK jika Jeremy Corbyn menang diperkuatkan lagi pendeta Yahudi rabbi Julia Neuberger.

Neuberger menimbulkan kepincangan yang dikatakanya wujud dalam parti Buruh dibawah Corbyn kerana kononnya tidak membanteras sentimen anti-Yahudi.

Kalangan bangsa Yahudi terdapat tokoh tokoh yang tidak menyokong agenda anti-Palestin yang dipromosi Israel dan golongan Zionis.

Tony Greenstein, antara pengasas Kempen Setiakawan Palestin (Palestine Solidarity Campaign) yang berbangsa Yahudi dan Anti-Zionis mempersoal usaha campurtangan menentu keputusan pilihanraya UK 2019.

Dalam ruang pendapat (Opinion) di Aljazeera bertarikh 7 Disember, Greenstein mengajukan soalan sama ada Jeremy Corbyn merupakan ancaman kepada kaum Yahudi Britain (Is Jeremy Corbyn A Threat to British Jews?).

Menurut Greenstein, musuh Corbyn tidak mampu menentang dasar politiknya yang berhaluan kiri tetapi demokratik. Untuk memburukkanya mereka membuat pelbagai dakwaan yang tidak berasas, termasuk menyifatkannya sebagai anti-Yahudi.

Dakwaan ini diperkuatkan dengan pelbagai serangan terhadap sokongan parti Buruh dan juga Corbyn sendiri dalam membela hak rakyat Palestin.

Tambah Greenstein, usaha melabel Corbyn sebagai anti-Yahudi bermula sejak pelantikannya sebagai pemimpin parti Buruh sejak 2015.

Lebih parah, tohmahan dilempar sewaktu kempen pilihanraya bahawa sebuah kerajaan parti Buruh dibawah Corbyn disifatkan sebagai menimbulkan bahaya melenyapkan cara hidup Yahudi di UK.

Penulis bebas Australia Caitlin Johnstone yang terkenal dengan pendirian bebas turut membuka mata pembaca tentang usaha menentukan parti mana menang dalam artikel bertajuk; “Someone Interfered With the UK Election And It Wasn’t the Russians”.

Mengikut Johnstone, Corbyn terkenal membela nasib golongan marhaen dijadikan sasaran golongan `plutokrat’ menggunakan kuasa media.

“Pendiriannya membela rakyat Palestin menjadikannya sasaran golongan pro-Yahudi walaupun Corbyn begitu tegas menentang segala jenis penindasan terhadap mereka,” tambah Johnstone.