Berita  |  Dunia

Starbucks AS derma makanan tidak habis dijual dalam usaha memerangi kelaparan

Starbucks AS derma makanan tidak habis dijual dalam usaha memerangi kelaparan
Starbucks hari ini mengambil langkah untuk menderma kesemua makanan yang tidak habis dijual di kafenya.
BIMBANG dengan isu kelaparan di sebuah negara maju seperti Amerika Syarikat, Starbucks hari ini mengambil langkah untuk menderma kesemua makanan yang tidak habis dijual di kafenya. 

Ia juga sebagai langkah untuk memerangi kes pembaziran makanan. 

Program yang diberi nama FoodShare menyaksikan Starbucks bekerjasama dengan badan-badan seperti Feeding America dan Food Donation Connection. 
Menerusi program FoodShare, Starbucks akan menderma makanan yang tidak habis dijual di 7,600 kafe miliknya di Amerika Syarikat.

“Dengan langkah pertama ini, kami berharap syarikat lain akan ikut serta agar semua dan memerangi kelaparan bersama-sama,” kata Presiden Kumpulan Starbucks AS Cliff Burrows dalam satu kenyataan. 

Pada tahun pertama ini, Starbucks sasar untuk menyediakan makanan kepada 5 juta individu dan keluarga yang memerlukan.

Dalam kenyataan yang sama, Starbucks memberitahu bahawa seramai 15 juta kanak-kanak di AS tinggal bersama keluarga di mana bekalan makanan berkhasiat amat terhad.

Sebelum ini, Perancis menjadi negara pertama mewajibkan pasar raya di negara itu mendermakan barangan makanan yang tidak habis dijual kepada mereka yang memerlukan.

Membuang makanan, khususnya barangan dapur yang tidak habis dijual, kini merupakan satu kesalahan di Perancis.