Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand menolak pencalonan mengejutkan daripada seorang puteri raja negara itu untuk bertanding jawatan perdana menteri pada Mac, selepas Raja Maha Vajiralongkorn menyifatkan tindakan kekandanya itu sebagai tidak bersesuaian dan bertentangan dengan perlembagaan.

Portal berita Bangkok Post sebelum ini melaporkan, suruhanjaya itu juga akan menilai tentang perkara itu pada Isnin selain mengkaji satu aduan yang mendesak parti populis yang mencalonkan Puteri Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Barnavadi, 67, agar dikenakan tindakan.

Pilihan raya pada 24 Mac bakal menjadi pilihan raya pertama dijalankan sejak rampasan kuasa oleh tentera pada 2014.

Thailand merupakan negara monarki berperlembagaan sejak 1932, namun kerabat diraja mempunyai pengaruh hebat dalam kalangan rakyat negara itu.

Pencalonan mengejut Ubolratana pada minggu lalu oleh Parti Thai Raksa Chart, yang terbentuk daripada penyokong Thaksin Shinawatra, memecahkan tradisi kerana belum pernah ada sebarang ahli kerabat diraja menyertai politik.

Ubolratana tidak lagi menggunakan gelaran diraja selepas berkahwin dengan seorang warga Amerika Syarikat pada tahun 1970-an, selain pernah berlakon dalam drama rantaian dan filem aksi.

Bagaimanapun, berselang sejam selepas berita pencalonan itu, Raja Maha Vajiralongkorn dalam satu kenyataan menerusi satu siaran di semua rangkaian televisyen Thailand, bertitah bahawa hasrat kekandanya itu tidak selari dengan tindakan keluarga diraja.

Perkembangan mengenai isu tersebut meletakkan Thailand dalam keadaan berjaga-jaga. Polis pengawal rusuhan ditempatkan di wilayah Pichit di utara Bangkok, iaitu tempat yang dikatakan bakal dilawati Ubolratana.

Hashtag dalam bahasa Thai yang bermaksud ‘rampasan kuasa’ juga tular di Twitter pada Isnin, seiring dengan dokumen yang mendakwa junta telah memecat beberapa komander tentera darat, laut dan udara.

Jurucakap kerajaan, Kolonel Taksada Sangkhachan, bagaimanapun berkata dokumen itu adalah palsu dan satu laporan polis telah dibuat.