Pihak berkuasa Washington menahan seorang suspek di sebalik insiden tembakan yang menyebabkan lima maut di sebuah pusat membeli-belah di utara Seattle, kira-kira 24 jam selepas kejadian itu, lapor AFP.

"Lelaki bersenjata itu telah ditangkap malam ini oleh pihak berkuasa, tiada lagi suspek," jelas jurucakap Washington State Patrol, Sarjan Mark Francis di Twitter.

Dalam kejadian tersebut, suspek melepaskan tembakan menggunakan senapang raifal di bahagian kedai alat solek Macy, pusat beli belah Cascade yang menyebabkan empat wanita dan seorang lelaki maut.

Pejabat FBI Seattle berkata tiada bukti insiden berkenaan ada kaitan dengan pengganas.

Suspek, digambarkan sebagai seorang lelaki Hispanik lewat belasan tahun atau awal 20-an – yang kemudian meninggalkan pusat beli belah itu ke arah lebuh raya berdekatan.

Menurut Ketua Polis Mount Vernon, Chris Cammock motif tembakan masih dalam siasatan.

“Kami masih tidak tahu motif suspek membuat tembakan, tetapi siasatan secara menyeluruh akan dilakukan sebaik mungkin,” katanya dalam satu sidang akhbar pada Sabtu.

Menurut Cammock, dalam kejadian tersebut, penembak berjaya masuk ke dalam pusat beli-belah itu tanpa senjata, dan muncul dalam kamera keselamatan kira-kira 10 minit kemudian dengan senapang.

Polis menerima panggilan sekitar 6.58 Jumaat (0158 GMT Sabtu) mengenai das tembakan yang dilepaskan.

Suspek dilihat berjalan ke arah lebuh raya dari pusat membeli-belah sebelum pegawai tiba.

Pusat membeli-belah telah diarahkan kosong, polis menyerbu kawasan itu dan pasukan perubatan bergegas ke tempat kejadian.

Kejadian dikatakan berlaku di tengah-tengah perdebatan hangat Amerika Syarikat mengenai isu undang-undang kawalan senjata api.

Setakat ini, insiden tembakan rambang di Amerika Syarikat telah menyebabkan 30,000 warganya maut dalam setahun.