Bekas ikon demokrasi Aung San Suu Kyi menolak tuduhan genosid terhadap warga Rohingya di Myanmar malah menyatakan bahawa tuduhan itu sebagai menyimpang daripada fakta dan tidak layak dikemukakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ketika membacakan kenyataan pembelaannya, Suu Kyi menyatakan 'operasi pembersihan' di wilayah barat Rakhine pada Ogos 2017 merupakan langkah pencegahan keganasan sebagai tindak balas terhadap serangan militan Rohingya ke atas berpuluh-puluh balai polis.

Tuduhan ini dibawa ke ICJ oleh Gambia mewakili Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC) yang turut dianggotai Malaysia.

“Gambia memberi kenyataan yang tidak lengkap dan menyimpang daripada fakta sebenar mengenai situasi di Rakhine, Myanmar,” katanya.

Kata Suu Kyi, masalah di Rakhine adalah sangat rumit dan mengakui pihak tentera mungkin mengunakan kekerasan tetapi ia tidak membuktikan bahawa itu meruapakan tindakan bagi melenyapkan etnik minoriti.

Semasa pembelaannya juga, dia sering menyebut bahawa krisis berdarah pada 2017 merupakan konflik dalaman yang disebabkan oleh serangan kumpulan bersenjata tempatan seperti Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA).

Malah beliau menegaskan, pihak tentera yang meletakkannya dalam tahanan rumah selama 15 tahun itu kini mangsa serangan pihak yang tidak bertangungjawab.

“Rakhine hari ini mengalami konflik bersenjata dalaman antara tentera Buddha Arakan dan perkhidmatan pertahanan Myanmar dan umat Islam bukanlah satu pihak untuk konflik ini, tetapi mungkin, seperti orang awam lain di kawasan konflik, akan terjejas oleh langkah-langkah keselamatan yang ada," katanya.

Lebih 73,000 komuniti berketurunan Rohingya melarikan diri dari Myanmar ke Bangladesh pada 2017.

PBB melaporkan sehingga 10,000 dikhuatiri maut akibat serangan itu.