MUNGKIN ini detik yang paling indah sepanjang anda menonton perlawanan bola sepak!!

Tindakan spontan lima pemain bola sepak wanita melindungi pemain lawan selepas tudung yang dipakai wanita tersebut terbuka - mendapat pujian pengguna media sosial.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika perlawanan akhir Liga Bola Sepak Wanita Jordan antara kelab Shabab Al Ordan dan Amman Club.

Menerusi video yang dikongsi pengguna Twitter bernama Shuaib Ahmed, ketika kejadian pemain wanita itu sedang mengelecek bola bagi melepasi kawalan pemain lawan.


Bagaimanapun, tudung yang dipakai pemain itu secara tidak sengaja terlucut.

Melihat keadaan tersebut, sekumpulan pemain lawan yang memakai jersi merah dengan pantas menghentikan permainan seketika lalu "melindungi" wanita itu.

Mereka dilihat membuat bulatan kepungan bagi memastikan aurat wanita itu tidak terdedah ketika dia sedang membetulkan hijabnya.

Video yang dikongsi oleh Shuaib tular di media sosial dan sehingga kini mendapat lebih 2 juta tontonan sejak ia dimuat naik pada 13 Oktober lalu.

Rata-rata pengguna media sosial menyifatkan perbuatan yang dilakukan kumpulan pemain bola sepak terbabit sebagai terpuji.

Syabas girls!!