Syerif tempatan di Florida sedia mengawasi satu program yang diperkenalkan bagi melatih guru-guru yang akan dibenarkan membawa dan mengendalikan senjata api di sekolah.

Program Sentinel itu dijalankan bagi membolehkan guru-guru yang telah melalui latihan ketat, bahkan lebih daripada yang diperlukan untuk menjadi syerif, membawa senjata ke sekolah ketika waktu bekerja.

Syerif Polk County Grady Judd mengumumkan pada Khamis, beliau akan melantik "timbalan khas" yang akan dibekalkan senjata, walaupun undang-undang Florida tidak membenarkan selain pegawai penguatkuasa undang-undang membawa senjata ke sekolah.

"Saya memberi mereka kuasa untuk membawa ke kampus senjata api yang disembunyikan semata-mata bagi memastikan pelajar selamat dan dilindungi daripada penyerang yang datang ke kampus, dengan tujuan membunuh pelajar atau kakitangan," kata Judd.

Judd juga mengatakan program ini adalah jalan terakhir selepas semua usaha lain dilakukan bagi mencegah penembakan massa.

Susulan serangan di Florida 14 Feb lalu yang membunuh 17 pelajar dan kakitangan Marjory Stoneman Douglas High School, di Parkland, Presiden Donald Trump pada Khamis (22 Feb) mengadakan perbincangan mengenai keselamatan di sekolah bersama pegawai peringkat negeri dan tempatan.

Dalam mesyuarat itu, Trump mencadangkan guru sekolah dilengkapi senjata bagi menghalang kes tembakan besar-besaran.