INSIDEN tsunami di Selat Sunda pada Sabtu telah meragut banyak nyawa, rata-ratanya warga tempatan yang menginap di wilayah itu.

Namun, media kemudian dimaklumkan akan satu-satunya mangsa tsunami warga Malaysia yang cedera dalam kejadian itu.

Menceritakan pengalamannya ketika menghadapi detik cemas itu, pemandu lori Khairul Umam Masduki, 31, bersyukur kerana nyawanya masih bersisa walaupun jasadnya, pada hakikatnya, sudahpun dihanyutkan ombak dahsyat itu.

Menurutnya, ketika kejadian, beliau sedang baring di dalam biliknya dan tidak semena-mena terdengar bunyi gemuruh yang agak kuat.

“Tak sampai satu minit, ombak besar menghentam pintu hingga tercabut dan air pantas memenuhi bilik saya. Tidak lama kemudian, dinding rumah runtuh dan runtuhan itu kena pada kaki dan pinggang saya.''

Khairul Umam berkata dia tidak dapat mengingati apa yang berlaku seterusnya dalam keadaan gelap dan kucar-kacir itu.

Menurutnya, dia hanya menyedari ditarik dan dipapah beberapa individu dipercayai orang kampung di kawasan tersebut yang kemudian membawanya ke atas bukit.

“Saya berasa sangat syukur kerana masih selamat dan masih bernyawa pada hari ini. Alhamdulillah, hasil pemeriksaan doktor, saya tidak mengalami sebarang kecederaan serius ... hanya bengkak di kaki dan pinggang.

“Saya akan pulang semula ke Malaysia pada 7 Januari 2019,’’ kata Khairul Umam yang berkunjung ke Indonesia untuk menghadiri majlis perkahwinan saudaranya.