Sebuah mangkuk tandas diperbuat daripada emas tulen 18 karat dilarikan dari Istana Blenheim, London semalam.

Tandas bernilai 1 juta pound (kira-kira RM5.2 juta) rekaan artis kontroversi Itali, Maurizio Cattelan dilarikan semalam dan sehingga kini masih belum ditemukan.

Ia sebahagian daripada pameran terbaharu di Oxfordshire, iaitu tempat kelahiran bekas perdana menteri Winston Churchill.



Apa yang menarik, pelawat yang mengunjungi Istana Blenheim berpeluang menggunakan tandas terbabit dengan peruntukan masa selama tiga minit.

Polis Thames Valley, Inspektor Richard Nicholls mengesahkan khazanah berharga itu sudah dicuri dan kes masih disiasat.


Katanya, seorang lelaki berusia 66 tahun turut ditahan kerana dipercayai ada kaitan dengan insiden tersebut dan kini berada dalam tahanan polis.

Sementara itu, kes kecurian ‘luar biasa’ itu turut mendapat perhatian syarikat pereka istana, Eventsitedesign yang mengumumkan kejadian tersebut di Twitter.


Istana Benheim pula mengumumkan premis itu terpaksa ditutup sementara susulan kejadian. Ia dijadual dibuka semula untuk awam pada Ahad atau Isnin.