Mungkin tidak masuk akal, namun inilah kenyataannya.

Ahli paleontologi mengumumkan penemuan lebih 20 tapak kaki dinosaur di wilayah Zhejiang timur China, pada Selasa.

Tapak kaki berukuran 22.7cm hingga 82cm yang dipercayai berusia 100 juta tahun itu ditemukan di sebuah kampung di bandar Lanxi.

Menurut seorang profesor di Universiti Geosains China, Beijing, pakar menganggarkan panjang badan haiwan purba dipercayai daripada spesies Sauropod dari zaman kreataseus itu adalah di antara 3.8 dan 14 meter.

Penemuan tapak kaki haiwan purba itu menunjukkan dinosaur hidup aktif di kawasan itu dipercayai kerana ia kaya dengan sumber makanan.

Pakar paleontologi kini bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk melindungi penemuan tapak kaki dinosaur ini.