Penduduk di Jepun sedang bersiap siaga bagi menghadapi Taufan Hagibis yang dijangka melanda selatan pasifik negara matahari terbit itu pada hujung minggu ini.

Lapor Agensi, Taufan Hagibis dijangka membadai beberapa daerah di Jepun antaranya Kyushu, Shikoku dan Honshu.

Pada Selasa, penduduk negara itu diminta melakukan persiapan awal dengan menjangkakan taufan ke-19 itu bakal membadai pulau-pulau utama di Jepun.

Dalam pada itu, pada Selasa pagi, Taufan Hagibis dikesan bergerak ke bahagian utara Mariana Islands.

Ia turut dijangka akan terus beralih ke arah utara dan menghampiri kawasan sekitar Daitojima di Okinawa pada Jumaat.

Menurut Agensi lagi, Taufan Hagibis dijangka akan menghala ke Kyushu, Shikoku dan Honshu sekali gus membadai kawasan berkenaan bermula Sabtu hingga Ahad.

Ribut berkenaan turut dijangkakan akan menyebabkan ombak pada ketinggian luar biasa di Okinawa dan Pulau Ogasawara Islands pada pertengahan minggu sebelum beralih ke pesisir pantai Honshu pada Jumaat.

Sebagai rekod, bulan lalu, dua taufan membadai teruk Jepun, dengan Taufan Faxai yang membadai wilayah berhampiran ibu kota Jepun mengakibatkan hampir 290,000 orang penduduk terputus bekalan elektrik dengan 10 buah rumah di bandar Shizuoka rosak teruk.