Berita  | Dunia

Taufan Florence: Mangsa banjir North Carolina mula diselamatkan

Taufan Florence: Mangsa banjir North Carolina mula diselamatkan
Sebuah kereta melalui jalan di mana sebatang pokok tumbang menghalang jalan susulan kejadian Taufan Florence di Wilmington, North Carolina, 14 Sept, 2018. REUTERS
NEW BERN: Lebih 200 mangsa banjir di North Carolina diselamatkan pasukan penyelamat susulan taufan Florence melanda kawasan New Bern.

Kesan daripada Florence menyebabkan paras air di sungai utama, Sungai Neuse, meningkat, sekali gus mengakibatkan bandar bersejarah itu digenangi air banjir.

Datuk Bandar Dana Outlaw berkata, hampir 30,000 penduduk New Bern  terjejas dan cuba mendapatkan bantuan pihak berkuasa.
Saluran yang digunakan mereka adalah sama ada secara tradisional melalui telefon atau platform media sosial.

Terdahulu, penduduk di kawasan itu dihantui trauma apabila berlaku banjir kilat sebelum kedatangan Florence.




Sebagai persediaan awal, seramai 9,700 anggota tentera tempatan dengan dibantu orang awam digembeleng menggunakan helikopter dan bot untuk mengeluarkan mangsa-mangsa banjir.

Semasa berdepan ancaman Florence, pihak berkuasa berkata, 1.7 juta penduduk North Carolina dan Virginia diberi amaran untuk berpindah awal sebagai langkah berjaga-jaga.