Pertempuran terus berlaku di antara tentera Syria dan kumpulan militan Daish di selatan ibu kota Damsyik.

Menurut pemerhati dan media kerajaan Syria, pertempuran yang juga berlaku pada Jumaat menyebabkan berpuluh nyawa terkorban dan mengalami kecederaan.

Pertubuhan Syrian Observatory for Human Rights yang berpangkalan di Britain melaporkan, serangan bom yang dilancarkan kerajaan Syria membunuh 17 nyawa, termasuk tujuh kanak-kanak dan dua wanita di kem pelarian Yarmouk yang dikuasai militan Daish.

Menerusi laporan agensi media kebangsaan di Syria pula, serangan yang dilancarkan militan Daish di kejiranan Qadam membunuh dua kanak-kanak dan mencederakan lapan mangsa.

Agensi berita SANA dalam satu laporannya menyebut bahawa tentera kerajaan dan sekutu mereka kini sudah memasuki kawasan yang lebih jauh di kejiranan Hajar al-Aswad yang ditawan Daish.

Ia bertujuan menghapuskan sepenuhnya penguasaan dan kemaraan kumpulan pengganas ini di selatan Damsyik.

Susulan serangan berterusan, agensi PBB untuk pelarian Palestin, UNRWA mengeluarkan amaran sekiranya pertempuran berterusan ia akan terus memberi kesan kepada kem pelarian Yarmouk dan kawasan sekitarnya.

Menurut UNRWA, pertempuran di antara tentera kerajaan dan militan Daish di sana setakat ini mengorbankan dan mencederakan sekurang-kurangnya 5,000 nyawa orang awam dari kem pelarian Yarmouk dan kawasan kejiranan Yalda di mana 3,500 mangsa merupakan warga Palestin.