Warga Pidie Jaya, Aceh sekali lagi dikejutkan dengan gempa usulan berkekuatan 5.0 di skala Richter menjelang tengah malam semalam, hinggakan mereka yang bermalam di pusat penempatan sementara mahupun kediaman sendiri bergegas keluar menyelamatkan diri.

Portal berita Detik.com melaporkan, maklumat dari Badan Meteorologi, Klimatologi dan Gefizik (BMKG), gempa tersebut berpusat di 32km timur laut Aceh Besar, Aceh. Gempa terjadi sekitar jam 11.05 malam waktu tempatan pada kedalaman 10km.

Dengan keadaan yang lebih berwaspada, mereka dilihat berkumpul di pinggir jalan yang jauh dari pokok atau tiang elektrik.

Presiden Indonesia, Joko Widodo, sudahpun mengerahkan pihak berkuasa termasuk pasukan bersepadu untuk menjalankan usaha mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi gempa.

Selain telah mengutus seorang pegawai kanan ke Aceh untuk memantau pengurusan bencana di Aceh, Jokowi yang masih terikat dengan urusan rasmi turut mengikuti situasi tersebut dari Istana Presiden di Jakarta, mahupun sepanjang bermesyuarat di Bali.

Beliau turut sempat menazhirkan rasa simpati dan sokongan melalui akaun Twitternya:

LAPOR LANGSUNG: Tentera giatkan bantuan pasca gempa Aceh

Kira-kira 1,000 tenaga tambahan dari Tentera Nasional Indonesia (TNI) sudah ditugaskan di lokasi yang memerlukan bantuan.

Turut memainkan peranan adalah aset-aset ketenteraan termasuk tiga pesawat C-130 Hercules yang digunakan untuk membawa masuk pasukan perubatan yang terdiri daripada doktor pakar dan juga pegawai-pegawai kesihatan lain.

Sementara itu, Pengurus Besar Nahdlatul Ulama (NU) mengesyorkan kepada seluruh anggotanya agar mengadakan solat ghaib dan tahlil untuk korban gempa Aceh, sebagai tanda sokongan kepada waris mangsa.

"PBNU mengarahkan barisan pengurusan Nahdlatul Ulama di semua peringkat dan kepada semua sekolah agama pondok, masjid, dan surau untuk menganjurkan solat ghaib dan tahlil untuk kesemua mangsa korban Aceh 2016," ujar satu kenyataan di laman web rasmi NU.

Setakat ini, hampir 100 orang sudah disahkan terkorban manakala ribuan lagi mengalami kecederaan parah dan ringan, dalam bencana pada awal pagi Rabu itu.

Sehingga malam semalam, 97 mangsa korban telah disahkan di Kabupaten Pidie oleh Ketua Bahagian Perhubungan Masyarakat Polis Daerah Aceh, Gunawan.