Tentera rejim menyerang 80 sasaran Hamas di Semenanjung Gaza pada Jumaat malam, selepas pejuang Palestin melancarkan 30 roket ke kawasan selatan Israel.

Sejak beberapa hari sebelumnya, berpuluh-puluh pesawat tentera Israel terbabit dalam serangan udara besar-besaran di Gaza.

Antara lain, mereka mensasarkan lokasi yang didakwa sebagai pembinaan senjata dan lima kawasan pejuang bersenjata, termasuk sebuah bangunan yang dikatakan tempat anggota keselamatan Hamas.

Portal berita Haaretz melaporkan, pertahanan peluru berpandu 'Iron Dome' memintas 11 roket yang dilancarkan ke selatan negara Yahudi itu, dengan satu yang terbaharu awal pagi Sabtu.

Loceng amaran serangan dibunyikan 11 kali oleh rejim Zionis di selatan Israel termasuk di bandar Sderot dan Eshkol dekat sempadan Gaza sebagai amaran kepada penduduk Yahudi supaya mengambil langkah keselamatan.

Pejuang Palestin melancarkan roket ke selatan Israel berikutan pembunuhan enam penduduk Arab oleh tentera Israel ketika mereka melakukan bantahan di sempadan Gaza dan Tebing Barat.