Polis Seguin menahan seorang wanita selepas disyaki membiarkan anak perempuannya tinggal bersama dengan mayat ibunya yang dilaporkan telah meninggal dunia sejak 2016, di Texas, Amerika Syarikat.

Tengkorak Jacqueline Crayton, 71, ditemui di dalam rumah yang menempatkan dua beranak iaitu Delissa Navonne, 47, dan anak peremuannya yang pada ketika itu berusia 15 tahun.

Pihak polis sebelum itu menerima laporan daripada jabatan kebajikan sebelum membuat pemeriksaan di kediaman itu pada awal minggu ini.

Mayat itu bagaimanapun masih belum dikenal pasti, namun dipercayai merupakan nenek kepada remaja malang itu.

Menurut sumber, Crayton dilaporkan tinggal di rumah berkenaan bersama anak perempuan dan cucu perempuannya.

Laporan polis kepada media tempatan mendakwa Clayton meninggal dunia disebabkan terjatuh di dalam bilik tidur rumah berkenaan pada tahun 2016.

Ketua Polis Seguin, Terry Nicholas berkata, Delissa gagal menghubungi polis selepas kejadian ibunya terjatuh.

“Remaja perempuan itu kini ditempatkan di bawah penjagaan ahli keluarga yang lain dengan dibantu oleh cawangan polis Seguin.

“Delissa masih dalam siasatan dan dia memberikan kerjasama yang baik dengan pihak polis,” katanya kepada The Seguin Gazette.

Delissa yang merupakan bekas kakitangan di sebuah sekolah di Seguin boleh dikenakan penjara dua hingga 20 tahun dan denda sehingga AS$10,000 (RM41,129) jika sabit kesalahan.