Tular rakaman video di mana seorang anggota polis berdepan dengan situasi cemas dan berbahaya apabila bahagian matanya tertusuk anak panah.

Bagaimanapun, anggota polis berkenaan masih mampu berjalan dan melaksanakan tugasnya.

Memetik di Instagram krishnamurti_bd91, rakaman itu dikongsi Ketua Bahagian Hubungan Antarabangsa Polis Negara dan bekas Pengarah Jenayah di Polis Metro Jakarta, Brigadier Jeneral Krishna Murti.

Dalam rakaman itu, pegawai berkenaan tetap berjalan di zon konflik walaupun matanya cedera.

Krishna memuji tindakan polis berkenaan dan menggelarnya seorang pahlawan.

"Walaupun tidak ingin jadi pahlawan, hanya ingin melaksanakan tugas. Mata kena panah ketika cuba mengawal konflik. Dia tetap kuat. Kamu hebat! Kami bangga!," katanya.

Seperti yang dilaporkan oleh portal Kumparan, polis itu dipindahkan ke Papua, Jayapura untuk rawatan selanjutnya.

Difahamkan, sekurang-kurangnya lima orang awam dilaporkan cedera dan sekurang-kurangnya lima buah rumah dan lima kedai dibakar akibat rusuhan itu.

Seorang lagi pegawai polis juga dilaporkan terkena anak panah di peha semasa rusuhan tersebut.

Daerah Gunung Bintang menyaksikan banyak pertempuran ganas sejak April antara kumpulan yang menyokong dan menentang kepimpinan Constans Oktemka.