Thailand dijangka menjadi negara Asia pertama yang akan menghalalkan penggunaan ganja khusus untuk perubatan, namun, wujud perbezaan pendapat berhubung hak pengedarannya oleh pengkaji tempatan dan firma asing, yang melihat prospek keuntungan dalam pasaran.

Sekiranya kesemuanya berjalan lancar, Parlimen Thailand dijangka meluluskan undang-undang berkaitan penggunaan ganja seawal Januari 2019.

Usahawan tempatan dan aktivis Thailand gusar firma asing akan mengambil kesempatan untuk menguasai pasaran tersebut susulan kelebihan dan kapakaran yang dimiliki mereka.

Ini jelas dengan permintaan tinggi untuk mempatenkan dadah terbabit untuk pasaran.

"Pemberian paten ini membimbangkan kerana ia menghalang inovasi dan menyekat perniagaan dan penyelidik lain daripada melakukan apa-apa yang berkaitan dengan ganja," menurut aktivis, Chokwan Kitty Chopaka.

Tambah beliau, permohonan paten ganja oleh oleh firma asing umpama meminta air dipatenkan, kerana di bawah undang-undang Thailand, tumbuh-tumbuhan tidak boleh dipatenkan.

Tentangan kepada hasrat firma asing itu dijangka akan meyukarkan lagi proses menghalalkan penggunaan ganja, ditambah cadangan pengkaji dan aktivis yang mahu memfailkan saman terhadap kerajaan sekiranya hak paten itu diberikan kepada firma asing.

Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha turut digesa untuk mengeluarkan arahan eksekutif bagi mengakhiri pertikaian ini, namun setakat ini, jurucakap kerajaan berkata tiada sebarang rancangan berbuat demikian.

Langkah Thailand untuk membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan dan penyelidikan berikutan gelombang di di seluruh dunia, termasuk di Colombia, Israel, Denmark, Britain dan beberapa negeri di Amerika Syarikat. Uruguay dan Kanada telah mengambil langkah lebih jauh dengan membenarkan penggunaan secara rekreasi.

Jiran-jiran negara Thailand seperti Malaysia dan Singapura masih berada di peringkat awal untuk membahaskan sama ada untuk menghalalkan ganja bagi tujuan perubatan, tetapi ia adalah isu yang sensitif kerana ia menyalahi undang-undang dan diharamkan di kebanyakan negara di Asia Tenggara.

Rantau ini mempunyai hukuman antara paling berat di dunia, termasuk tempoh penjara yang panjang kerana memiliki dadah di Thailand, dan hukuman mati di Singapura, Indonesia, dan Malaysia untuk kesalahan pengedaran dadah.