Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Dunia

Thailand cadang naik taraf infrastruktur di sempadan Bukit Kayu Hitam-Sadao

Thailand cadang naik taraf infrastruktur di sempadan Bukit Kayu Hitam-Sadao
Ketika ini, Malaysia menerusi Kedah, dan Thailand dihubungkan oleh dua lokasi iaitu Bukit Kayu Hitam (gambar) dan Durian Burung. - Gambar fail/Astro AWANI
ALOR SETAR: Menaik taraf kemudahan logistik dan infrastruktur di sempadan Bukit Kayu Hitam-Sadao penting untuk meningkatkan perdagangan dua hala dan hubungan antara dua negara, kata Duta Thailand ke Malaysia Narong Sasitorn.

Beliau berkata meningkatkan hubungan akan menyokong pertumbuhan trafik di sempadan pada masa depan dan membantu komuniti Malaysia dan Thailand di sana untuk menjalankan perniagaan mereka dengan cekap.
"Peranan kerajaan Thailand dan Malaysia ialah memudahkan komuniti perniagaan kita - mereka kuat, berpengalaman dan keusahawanan.

"Apa yang kita perlukan ialah menyediakan persekitaran yang baik dan kita perlu menambah baik jaringan infrastruktur untuk memastikan kita mempunyai jalan raya dan hubungan yang lebih baik untuk komuniti kita menjalankan perniagaan," katanya.
Narong membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Kedah Mohammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman di sini.

Narong berkata Kedah mempunyai pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) bertaraf dunia di Bukit Kayu Hitam manakala Thailand turut berharap untuk mempunyai ICQS dengan standard yang sama.

"ICQS kami di Sadao masih dalam proses memasang mesin dan komputer dan kami berharap dapat beroperasi sepenuhnya dalam beberapa bulan ini," katanya.

Beliau menekankan penyelarasan peraturan juga perlu dilaksanakan di sempadan untuk mengurangkan tempoh sepanjang prosedur Imigresen.

"Kami belum memulakan perbincangan, tetapi seperti mekanisme pelepasan tunggal atau pemeriksaan tunggal (harus dilaksanakan), contohnya ketika anda memiliki trak komersial, setelah diperiksa di Sadao (Thailand), ia akan terus ke Bukit Kayu Hitam atau Pulau Pinang .

"Begitu juga, setelah anda mendaftar masuk (kenderaan) di Bukit Kayu Hitam, hanya satu sahaja makanisme pelepasan dan pemeriksaan, anda tidak perlu melakukan terlalu banyak pemeriksaan, tetapi kedua-dua negara perlu menyetujui perkara itu terlebih dahulu," katanya.

Ketika ini, Malaysia menerusi Kedah, dan Thailand dihubungkan oleh dua lokasi iaitu Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung.

Duta itu juga meluahkan kebimbangannya bahawa walaupun hubungan Kedah dan Thailand adalah erat namun jarang berpeluang untuk berkongsi apa yang sedang diusahakan oleh kedua-dua pihak, sama ada dari segi pembangunan infrastruktur, zon perindustrian, sempadan khas atau zon ekonomi di sempadan.

"Terdapat banyak perkara yang berlaku di Kedah dan Songkhla. Oleh itu, kami akan mewujudkan forum untuk pegawai kami berkongsi maklumat mengenai usaha kami di kedua-dua belah sempadan untuk memastikan bahawa projek-projek tersebut akan diselaraskan untuk memastikan pelaburan di kedua-dua belah pihak akan memacu aktiviti ekonomi," katanya.

Sementara itu, Mohammad Sanusi berkata Kedah adalah pintu masuk utama melalui jalan darat dari Thailand ke setiap bahagian di Semenanjung Malaysia dan Singapura, justeru hubungan dalam bidang ekonomi mesti dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk lebih menguntungkan bagi kedua-dua negara.

"Bagi kerajaan Kedah, kami melihat masih banyak potensi untuk dikembangkan terutama dalam bidang pertanian dan pembangunan di kawasan sempadan," katanya.

-- BERNAMA