Penduduk di wilayah utara, timur laut dan tengah Thailand, termasuk ibu kota Bangkok, kini terpaksa memakai pakaian lebih tebal berikutan cuaca sejuk melanda kawasan berkenaan.

Menurut Jabatan Meteorologi, cuaca sejuk itu berpunca daripada sistem tekanan tinggi yang kuat yang melanda wilayah timur laut hingga ke wilayah utara serta kawasan tanah pamah di bahagian tengah negara ini.

Sejak Ahad lepas hingga Selasa, sistem tekanan tinggi kuat dari China menyebabkan suhu di kawasan berkenaan turun antara 6 dan 8 darjah Celsius.

Suhu dijangka terus menurun antara 2 dan 3 darjah Celsius lagi apabila satu lagi gelombang angin sejuk dari utara Thailand bertiup ke bahagian tertentu negara ini mulai Rabu hingga Jumaat.

Penduduk di beberapa bahagian Bangkok mengalami cuaca lebih sejuk pada Rabu berbanding beberapa hari lepas apabila suhu jatuh kepada antara 14 dan 16 darjah Celsius pada awal pagi.

Para pelajar juga mengenakan pakaian musim sejuk ketika ke sekolah pada Rabu.

Suhu dijangka meningkat pada tengah hari dan petang sebelum turun ke paras bawah 20 darjah Celsius pada waktu malam.

Cuaca sejuk sekarang bukan sesuatu yang asing bagi Bangkok dan 11 juta penduduknya kerana mereka pernah mengalami cuaca paling sejuk berukuran 9.9 darjah Celsius pada Januari 1955 dan 10.5 darjah Celsius pada Disember 1975.

Di utara Thailand, cuaca sejuk lebih teruk dirasai terutama oleh mereka yang tinggal di kawasan tanah tinggi dengan suhu menjunam kepada bacaan satu angka dan sesetengah kawasan pergunungan dijangka diliputi fros kerana terlalu sejuk.

Di Taman Negara Doi Inthanon, Chiang Mai, paras suhu jatuh kepada -2 darjah Celcius pada Rabu, cuaca paling sejuk yang melanda pusat pelancongan itu tahun ini.

Bagaimanapun, cuaca sejuk sekarang dijangka tidak berlaku bagi tempoh yang panjang kerana menurut ramalan Jabatan Meteorologi, keadaan demikian akan berakhir pada Jumaat ini. -- BERNAMA