Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha pada Selasa menafikan dakwaan bahawa masyarakat Islam di selatan Thailand mempunyai hubungan dengan dengan kumpulan Negara Islam (IS).

Beliau berkata ini berikutan seorang pelajar Thailand ditahan di Mesir kerana disyaki menyertai kumpulan itu.

"Kami sentiasa membuat semakan mengenai perkara itu. Bagaimanapun, kami tidak menemukan sebarang hubungan (antara orang Islam Thailand dan IS)," katanya pada sidang media di sini pada Selasa.

Prayuth berkata duta besar Thailand di Mesir akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Luar Mesir bagi membincangkan perkara itu.

"Mesir berjanji untuk memberikan bantuan dan mempercepatkan siasatan," katanya.

Pada Sabtu, Kedutaan Besar Diraja Thailand di Kaherah mengesahkan bahawa agensi keselamatan Mesir telah menahan seorang pelajar Thailand untuk disoal.

Pegawai dari kedutaan tidak dibenarkan bertemu dengan pelajar tersebut.

Media tempatan melaporkan bahawa pelajar dari Yala, selatan Thailand itu ditahan selepas para pegawai keselamatan menemukan beberapa foto yang dikatakan mempunyai hubungan dengan IS dalam telefon bimbitnya.

Pihak berkuasa berasa curiga selepas pelajar terbabit membuat pengakuan dalam satu wawancara yang dimuatkan dalam talian oleh sebuah stesen televisyen bahawa dia menyokong IS.

Semalam, pengarah Pusat Pengajian Islam Chulalongkorn University, Sarawut Aree berkata terdapat hampir 4,000 pelajar Islam Thailand yang menuntut di Mesir, khususnya Universiti Al-Azhar.

Beliau berkata, berdasarkan rekod tiada seorang pun daripada mereka mempunyai hubungan dengan kumpulan IS.

--BERNAMA