Thailand memperuntukkan sebanyak 5.4 bilion Baht (RM648 juta) untuk membeli 100,000 tan getah daripada pekebunnya yang terjejas kerana kejatuhan harga komoditi itu.

Jurucakap kerajaan, Kol Sansern Kaewkamnerd berkata program pembelian getah itu akan memberi manfaat kepada 850,000 pekebun di seluruh negara dan membantu menaikkan harga semasa yang rendah.

"Peruntukan untuk program tersebut akan diambil daripada bajet beberapa kementerian, Bank Pertanian dan Koperasi Pertanian serta ses daripada eksport getah," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Kabinet di sini hari ini.

Sebagai antara negara pengeluar getah terbesar dunia, Thailand terjejas teruk disebabkan harga semasa komoditi itu yang rendah terutamanya kerana permintaan daripada China yang perlahan.

Sementara itu, Sansern berkata kabinet turut meluluskan bajet sebanyak 20 bilion Baht (RM2.4 bilion) bagi projek pembangunan telekomunikasi, termasuk merapatkan jurang internet bandar-luar bandar.

Beliau berkata projek itu akan menyediakan kemudahan kepada 43 peratus daripada kampung-kampung di Thailand yang belum dihubungkan dengan internet dan akan bermula pada Mac tahun ini, dengan sebahagian besar peruntukan digunakan dalam tahun ini.

Projek tersebut akan dilaksanakan oleh syarikat milik kerajaan yang turut termasuk menjadikan Thailand sebagai Gerbang Digital, setanding dengan Malaysia dan Singapura, katanya.