Thailand pada Selasa mengesahkan dua lagi kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 37, menurut seorang pegawai kanan kesihatan pada Selasa.

Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Thailand, Dr Sukhum Kanchanapimai berkata dua kes baharu itu melibatkan seorang wanita berusia 31 tahun yang mempunyai kontak rapat dengan ahli keluarga yang pulang dari Guangzhou, China dan seorang lelaki berusia 29 tahun, bekerja sebagai pemandu pelancong warga China.

Beliau berkata wanita itu kini dirawat di Hospital Rajavithi, Bangkok, dan lelaki itu ditempatkan di Institut Penyakit Berjangkit Bamrasnaradura di wilayah Nonthaburi.

"Kami akan memantau semua kontak rapat kedua-dua pesakit (baharu) itu," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini pada Selasa.

Sehingga kini, 37 kes COVID-19 dilaporkan di Thailand dengan 22 daripada mereka telah pulih sepenuhnya dan telah keluar hospital, manakala 15 lagi pesakit masih menerima rawatan. Terdapat 420 kes PUI (pesakit yang disiasat) bagi COVID-19 di negara itu.

Sementara itu, Sukhum berkata Thailand akan meningkatkan saringan terhadap penumpang yang tiba dari negara yang merekodkan jangkitan tempatan COVID-19 di semua pintu masuk ke negara tersebut.

Selain penumpang dari China, beliau berkata pihak berkuasa juga meningkatkan saringan ke atas pengembara dari Singapura, Hong Kong, Jepun, Korea, Itali, Amerika Syarikat dan Iran.

Beliau menambah pihak berkuasa kesihatan juga turut menggiatkan saringan di lapan wilayah tarikan pelancong - Bangkok, Chiang Mai, Chiang Rai, Krabi, Phuket, Chonburi, Prachuap Khiri Khan dan Samut Prakan.

"Thailand melakukan saringan ke atas 3.41 juta pengembara melalui pintu masuk ke negara itu," katanya.

-- BERNAMA