Thailand menyangkal kenyataan aktivis haiwan yang mendakwa negara itu menyeksa monyet untuk memetik buah kelapa dan juga sebagai tarikan pelancongan.

Menteri Perdagangan Thailand, Jurin Laksanawisit menolak tuduhan yang dibuat oleh People For The Ethical Treatment Of Animals (PETA) dan menjelaskan ia bukanlah aktiviti utama industri itu.

“Terdapat perbezaan antara penuaian kelapa menggunakan monyet kerana tradisi atau untuk pelancongan, dan pengambilan kelapa dalam industri.

“Tidak memberi keuntungan untuk menggunakan monyet di dalam industri ini. Mereka mempunyai alat dan kaedah untuk memilih kelapa yang efisien dan mampu beri lebih keuntungan,” jelas Laksanawisit.

Thailand mengeksport santan bernilai AS$395 juta pada 2019, termasuk AS$71 juta ke Kesatuan Eropah dan United Kingdom.

PETA mendakwa siasatan terhadap lapan ladang kelapa di Thailand mendapati monyet dipaksa mengumpulkan sebanyak 1,000 biji kelapa sehari dan haiwan primat itu diperlakukan dengan kejam.

Menurut Presiden Persatuan Petani Kelapa, Nukul Luk-In, khidmat monyet hanya digunakan untuk memetik kelapa pada pokok-pokok yang tinggi dan sukar dicapai.