Timbalan Perdana Menteri Thailand tidak menolak kemungkinan bahawa bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra telah menyelinap keluar dari negara ini dua hari lepas menerusi Kemboja menuju ke Singapura seperti didakwa media.

Jen Prawit Wongsuwan yang juga Menteri Pertahanan dan menteri bertanggungjawab bagi hal ehwal dalam negara, bagaimanapun berkata beliau belum mendapat sebarang laporan berkaitan Yingluck.

"Saya tidak tahu tetapi saya mengikuti laporan media dalam talian bahawa beliau telah meninggalkan negara ini. Ia mungkin benar oleh kerana ada banyak laluan untuk melarikan diri (dari Thailand)," katanya kepada pemberita hari ini tentang spekulasi yang memuncak berhubung keberadaan Yingluck sekarang.

Media mendakwa adik perempuan bekas perdana menteri yang kini hidup dalam buangan, Thaksin Shinawatra, telah melarikan diri ke Kemboja menerusi Kho Chang, sebuah bandar di sempadan Thai, dua hari lepas sebelum pergi ke republik pulau berkenaan.

Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha turut mengarahkan pihak berkuasa supaya memantau rapi semua pintu keluar 'normal dan tidak normal' di negara ini.

"Saya sangkakan beliau seorang yang berani," katanya berhubung kegagalan Yingluck untuk hadir di mahkamah hari ini, dan menambah, beliau belum menerima sebarang laporan tentang Yingluck dan kemungkinan lokasinya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Jen Srivara Rangsibrahmanakul berkata polis Thai telah menghubungi rakan sejawatan mereka di Kemboja dan Singapura berhubung dakwaan itu, namun belum menerima sebarang maklumat mengenainya daripada kedua-dua negara.

"Ya, kami telah menghubungi mereka (Kemboja dan Singapura), tetapi belum ada pengesahan lagi," katanya, dan menambah, terdapat kemungkinan bekas perdana menteri itu melarikan diri menerusi sempadan biasa.

Srivara yang ditemui di Mahkamah Agung di sini, berkata polis akan melaksanakan waran tangkap ke atas Yingluck dan 'menangkapnya.'

Yingluck, 50, perdana menteri wanita pertama Thailand, sepatutnya menghadiri prosiding Mahkamah Agung hari ini untuk mendengar keputusan atas pembabitannya dalam skim subsidi beras yang diselubungi kontroversi, namun gagal menghadirkan diri, sekali gus mencetuskan spekulasi hangat tentang lokasi beliau berada.

Abang beliau, Thaksin juga melarikan diri dari Thailand bagi mengelak tindakan mahkamah pada 2008.

Ketika ditemui media selepas mahkamah menangguhkan prosiding hari ini, peguam Norrawit Larlaeng yang mewakili Yingluck menyatakan masalah kesihatan sebagai sebab beliau tidak hadir ke mahkamah hari ini.

Mahkamah menolak alasan itu dan mengeluarkan waran tangkap ke atas bekas perdana menteri, yang berdepan kemungkinan dihukum penjara sehingga 10 tahun, jika didapati bersalah.

Susulan ketidakhadiran Yingluck hari ini, mahkamah bersetuju untuk menangguhkan hukuman sehingga 9 pagi, 27 Sept.

Sementara itu, pegawai tertinggi imigresen negara menegaskan bahawa tiada tanda-tanda Yingluck telah melarikan diri dari negara ini untuk mengelak tindakan mahkamah seperti yang digembar-gemburkan.

Menurut Lt Jen Nattathorn Phrousunthon, tiada rekod imigresen yang menunjukkan beliau telah meninggalkan negara ini.

"Yingluck sebenarnya dilarang daripada melakukan perjalanan ke luar negara sejak 2015," katanya ketika dihubungi.

-- BERNAMA