Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayut Chan-o-cha hari ini menyuarakan sokongan negaranya terhadap cadangan Malaysia bagi mewujudkan laluan kesalinghubungan lebih baik antara Pelabuhan Songkhla di selatan negara itu dengan Pelabuhan Pulau Pinang.

Malah, pemimpin Thailand itu berkata kedua-dua negara terbabit akan mempertingkatkan perbincangan mengenai perkara itu kerana melibatkan kepentingan bersama.

"Memandangkan kita berkongsi sempadan sama, bagi saya, adalah wajar untuk kita saling bekerjasama. Kita perlu membangunkan ekonomi secara bersama dengan meningkatkan aspek kesalinghubungan seperti pelabuhan, sempadan kastam dan pelaburan di kedua-dua negara," katanya pada sidang media di Rumah Kerajaan di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyambut kehadiran Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan ahli Kuala Lumpur Business Club (KLBC) yang melakukan lawatan tiga hari ke Thailand bermula semalam.

Delegasi KLBC itu diketuai oleh Presidennya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang juga Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd.

Johari menyuarakan cadangan Malaysia berhubungan aspek kesalinghubungan lebih baik antara Pelabuhan Songkhla dan Pelabuhan Pulau Pinang sewaktu beliau mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Thailand, Somkid Jatusripitak pada Khamis.

Beliau memberitahu Bernama, Thailand turut teruja dengan cadangan itu yang akan melancarkan pergerakan barangan dan kontena dari Pelabuhan Songkhla dan Pulau Pinang kerana faktor jarak kedua-duanya yang berhampiran.

Selain memberi kemudahan dari segi kesalinghubungan yang lebih baik antara kedua-dua pelabuhan itu, Prayut berkata beliau dan Johari turut membincangkan pembangunan Bandar Raya Getah antara wilayah Songkhla dan Kedah.

Johari turut membawa bersama beberapa pelabur yang berpotensi untuk projek berkenaan dan memperkenalkan mereka kepada Prayut dan Somkid.

"Mulai sekarang, kita akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai pembinaan jalan raya (di sempadan) dan kita akan menggerakkan semuanya dalam tahun ini," kata Prayut.

Menurutnya, beliau dan Johari turut membincangkan cara untuk meningkatkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara jiran berkenaan.

"Banyak negara yang berminat dengan Thailand dan bersedia untuk turut serta," katanya.

-- BERNAMA