Thailand akan meningkatkan kawalan di pintu masuk dengan peralatan imigresen yang moden dan berkeupayaan bertujuan melindungi negara daripada ancaman keselamatan, kata Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha.

Beliau yang juga ketua Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) berkata, kerajaan telah meningkatkan langkah keselamatan di lapangan terbang, terminal bas dan jeti untuk memastikan keselamatan orang ramai.

"Jadi hari ini saya telah mengarahkan pihak berkuasa keselamatan mempertimbang untuk memodenkan peralatan imigresen untuk memantau aktiviti imigresen orang ramai," katanya kepada pemberita di rumah kerajaan selepas mesyuarat mingguan Kabinet di sini, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, Thailand perlu bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan kerana ancaman keselamatan yang dihadapi dunia masa kini boleh melibatkan mana-mana komuniti dan negara.

Perdana Menteri berkata, peningkatan ancaman keselamatan yang dihadapi Thailand hari ini juga mendorong negara itu untuk menjalin kerjasama yang lebih erat terutama berkaitan perisikan.

"Apa yang penting, kita perlu berganding bahu antara satu sama lain," katanya sambil menambah bahawa memandangkan peningkatan ancaman keselamatan di seluruh dunia, setiap negara menghadapi risiko yang lebih tinggi.


Pemeriksaan ketat

Sejak kebelakangan ini, polis di Bangkok telah mengetatkan pemeriksaan keselamatan di sekitar tempat-tempat awam yang sering dikunjungi oleh pelancong berikutan maklumat mengenai ancaman keselamatan oleh seorang pegawai di kedutaan Amerika Syarikat di Thailand.

Timbalan Ketua Polis Srivara Ransibrahmanakul dipetik oleh media tempatan sebagai berkata, para pegawai keselamatan tidak akan memandang ringan walaupun laporan perisikan menunjukkan bahawa kumpulan pengganas Daish tidak mempunyai markas atau pengikut di Thailand.

Terdahulu, Menteri Luar Don Pramudwinai berkata menyebarkan maklumat tidak spesifik mengenai ancaman Daish (IS) terhadap sesebuah negara boleh membawa lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan kepada ekonomi dan menjejaskan kehidupan rakyat.

Mengenai langkah kerajaan baru-baru ini untuk mengetatkan pengeluaran visa kepada media asing yang beroperasi di Thailand, Pramudwinai berkata, keputusan itu bukan dibuat untuk menyekat kebebasan media di negara itu.

Beliau berkata, terdapat standard antarabangsa mengenai kawalan visa untuk wartawan asing serta skop yang betul untuk tugasan mereka tetapi pihak berkuasa bersikap lembut mengenai perkara itu dan tidak menguatkuasakannya dengan tegas.