Thailand akan mula melakukan ujian klinikal vaksin COVID-19 terhadap manusia selewat-lewatnya September ini selepas kejayaan ujian awal terhadap monyet dan tikus, baru-baru ini.

Ketua penyelidik di Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Pembangunan Vaksin, Universiti Chulalongkorn Kiat Ruxrungtham berharap, dapat menemukan vaksin yang boleh menghasilkan antibodi peneutralan seperti yang dilihat pada monyet dan tikus.

"Sekiranya percubaan ini berjaya, Thailand mungkin akan mendapat vaksinnya pada pertengahan tahun depan," katanya dalam satu taklimat di sini, pada Ahad.

BNN Bloomberg melaporkan, dengan ini, Thailand bakal menjadi antara negara pertama di luar negara-negara berstatus pendapatan tinggi yang akan melakukan ujian itu.

Sebelum ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan, kira-kira 160 ujian vaksin COVID-19 termasuk 21 daripadanya di peringkat klinikal sedang dilakukan di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Kiat menjelaskan, fasa pertama ujian klinikal itu akan melibatkan 100 sukarelawan yang akan dibahagikan kepada dua kumpulan mengikut peringkat usia.

"Kumpulan pertama akan disertai oleh mereka yang berusia 18 hingga 60 tahun sementara satu lagi kumpulan pula akan disertai oleh sukarelawan yang berusia 61 hingga 80 tahun," jelasnya.

Katanya, fasa pertama akan bermula dalam dua bulan dan pengambilan sukarelawan dijangka akan diambil pada bulan September.

Sementara fasa kedua pula ujarnya akan bermula pada Disember ini dengan melibatkan antara 500 dan 1,000 sukarelawan.

"Vaksin ini mungkin akan mendapat kebenaran segera daripada Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) bagi membolehkan negara itu menjalankan kajian dengan mengambil sampel yang lebih besar iaitu lebih daripada 10,000," jelasnya.

Pengeluaran 10,000 dos untuk ujian vaksin akan bermula minggu depan dan setelah selesai Thailand akan mengedarkan kepada negara-negara jiran dan negara yang berpendapatan sederhana dan rendah.