Sebuah pesawat penerbangan Jet2 yang dalam haluan ke Tenerife di Kepulauan Canary, Sepanyol pada Ahad terpaksa membuat lencongan gara-gara tiada air untuk membancuh kopi dan teh.

Portal berita The Independent melaporkan, pesawat LS155 itu berlepas dari Glasgow, Scotland pada jam 8.55 pagi waktu tempatan, dan sedang meluncur di ruang udara barat Ireland sebelum terpaksa menukar haluan akibat masalah perpaipan.

Pesawat itu akhirnya mendarat di lapangan terbang Manchester pada jam 10 pagi, lebih sejam selepas ia terbang.

Seorang jurucakap syarikat penerbangan itu mengesahkan berlaku masalah berkaitan bekalan air di dalam pesawat, sekali gus bermaksud sistem tandas juga terjejas.

Tambahnya, kebajikan para penumpang diberi perhatian. Itu termasuk memindahkan mereka menaiki penerbangan lain ke Tenerife.

Bagaimanapun, terdapat juga penumpang yang menaiki penerbangan itu untuk menuju ke destinasi percutian tidak gembira dengan insiden tersebut dan melepaskan rasa tidak puas hati masing-masing menerusi media sosial.