PASUKAN perubatan yang merawat Ketua Pembangkang Rusia, Alexei Navalny mengesahkan tiada sebarang bukti yang menunjukkan pemimpin politik itu diracun.

Menurut Timbalan Ketua Doktor Perubatan, Anatoly Kalinichenko berkata, pihaknya tidak menemui sebarang kesan racun di dalam badan Navalny hasil daripada pemeriksaan di hospital.

Navalny merupakan pemimpin politik yang lantang bersuara terutamanya kritikan terhadap Presiden Rusia, Vladimir Putin.

BACA: Ketua Pembangkang Rusia koma akibat diracun

Terdahulu, beliau dilaporkan tidak sedarkan diri selepas dikatakan diracun dengan sesuatu yang dicampurkan ke dalam minumannya.

Situasi itu mengakibatkan pesawat yang dinaikinya terpaksa melakukan pendaratan cemas sebelum dikejarkan ke hospital dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bagaimanapun, pasukan perubatan menolak dakwaan tersebut selepas memperoleh hasil keputusan daripada hospital selain enggan membenarkan Navalny untuk berpindah ke hospital di Jerman.