Tiada rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy (JFK) di Amerika Syarikat susulan larangan perjalanan oleh Amerika Syarikat, kata Kementerian Luar.

Merujuk kepada artikel termasuk laporan bahawa seorang warga Malaysia antara 71 orang ditahan di JFK, New York berikutan larangan perjalanan itu, kementerian dalam kenyataan hari ini berkata ia telah mengesahkan dengan Konsulat Jeneral di New York bahawa tiada rakyat Malaysia ditahan di lapangan terbang.

Kementerian juga berkata ia mendapat penjelasan daripada Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur bahawa larangan perjalanan itu tidak termasuk Malaysia dan rakyatnya.

"Warga Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan dan visa yang sah dibenarkan memasuki Amerika Syarikat," kata kenyataan itu.

Semalam, Kedutaan Amerika Syarikat mengulangi bahawa rakyat Malaysia tidak terjejas dengan larangan perjalanan oleh Presiden Donald Trump.

Sebuah portal berita dalam talian tempatan semalam memetik tweet dari wartawan Mic.com yang berpusat di AS, Jack Smith IV sebagai bekata seorang rakyat Malaysia ialah antara 71 orang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy di New York.

Presiden Trump pada 27 Jan, menandatangani Perintah Eksekutif bertajuk "Melindungi Negara daripada Kemasukan Pengganas Asing ke Amerika Syarikat", yang secara efektif menyekat kemasukan semua pelarian selama 120 hari dan pelarian warga Syria selama-lamanya.

Perintah Eksekutif itu juga membekukan pengeluaran visa selama 90 hari untuk warganegara enam negara majoriti penduduk Islam atas alasan kebimbangan mengenai keganasan.

Keenam-enam negara itu ialah Iraq, Iran, Sudan, Libya, Somalia dan Yaman.

-- BERNAMA