Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas setakat ini dalam siri tunjuk perasaan terkini di Iran, menurut Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata Kementerian Luar memantau rapi perkembangan di Iran dan menasihati rakyat Malaysia yang berada di negara itu atau bercadang melakukan perjalanan ke Iran agar sentiasa berwaspada.

"Ini bermakna mereka perlu, antara lain, meningkatkan kepekaan terhadap keadaan di sekeliling mereka pada setiap masa dan memberi perhatian khusus ketika menghadiri majlis besar-besaran atau berada di tempat yang penuh sesak," katanya.

Reezal Merican berkata mereka juga perlu mengikut perkembangan mutakhir liputan media tentang peristiwa yang berlaku di dalam negara berkenaan dan memberi pertimbangan kepada perkembangan itu semasa merancang perjalanan.

Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia yang tinggal di Iran supaya mendaftarkan butiran diri mereka dengan kedutaan Malaysia di Tehran supaya mereka mudah dihubungi jika perlu.

Alamat kedutaan itu ialah No.25, Second Alley, North Zarafshan St., Eyvanak Blvd, Phase 4, Shahrak Qods, P.O. Box 868, Tehran.

Ia boleh dihubungi di talian (+9821) 8807 2444 atau (+9821) 8807 8606, faks (+9821) 8807 8716 dan emel [email protected].

Menurut laporan, sekurang-kurangnya 21 orang terkorban dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dan tentera kerajaan di Iran.

Tunjuk perasaan yang bermula Khamis lepas di bandar Mashhad itu pada awalnya berpunca daripada kemarahan terhadap kenaikan harga barang dan rasuah sebelum merebak kepada anti kerajaan.

-- BERNAMA