Masanya sudah tiba untuk mempertimbangkan seorang Muslim sebagai setiausaha agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) demi memastikan suara lebih 1.5 bilion umat Islam di dunia didengar dengan lebih berkesan, kata profesor kanan Middle East Technical University di Turki, Prof Dr Huseyin Bagci.

Beliau berkata dunia Islam perlu mempunyai suara yang kuat dalam PBB memandangkan tiada satu pun daripada 57 negara Islam di seluruh dunia, dipilih sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan PBB.

Beliau juga berkata tiada satu pun daripada negara yang menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan PBB sekarang iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, China dan Rusia akan melepaskan kedudukan istimewa mereka.

Ketika ditanya sama ada mungkin untuk seorang Muslim menjadi setiausaha agung PBB, Bagci berkata Dunia Islam boleh membentuk suara yang kuat jika mereka bertindak bersama.

"Seperti yang kita lihat dalam keputusan Amerika Syarikat berhubung Baitulmuqaddis, negara-negara Islam bertindak melambangkan perpaduan dan buat kali pertama selepas 1945, saya menyatakan bahawa AS telah tewas, bukan sahaja dalam pengundian tetapi juga daripada segi karisma," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya (PISD) 2018, di sini hari ini.

Wacana berprofil tinggi selama dua hari bertemakan Kebijaksanaan dan Kesederhanaan dalam Memerangi Keganasan", dianjurkan oleh Kementerian Dalam Negeri dengan kerjasama Rabitah Al-Alami Al-Islami (Liga Muslim Dunia), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berpusat di Arab Saudi.

Bagci mencadangkan bekas presiden Turki, Abdullah Gul dipertimbangkan sebagai setiausaha agung PBB.

Mengulas mengenai keganasan, beliau berkata sebanyak 42,000 anggota tentera dan orang awam Turki telah menjadi korban dan menganggarkan US$200 bilion telah dibelanjakan dalam usaha memerangi keganasan sejak 1985.

"Keganasan sentiasa mebnjadi masalah bagi sesetengah negara yang membelanjakan sejumlah besar peruntukan dalam bajet negara bagi menangani keganasan", kata Bagci.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata prinsip ta'ayush atau 'coexistence' dalam kerangka menangani keganasan dan ekstrimisme secara holistik adalah satu model Malaysia yang perlu dipromosikan dan dibanggakan oleh rakyat Malaysia.

Beliau yang juga seorang daripada panel dalam sesi itu berkata Malaysia yang mempunyai rakyat pelbagai kaum dan agama, dibangunkan berdasarkan prinsip itu yang terbukti mampu memelihara keamanan dan kestabilan negara.

"Malaysia melihat ekstrimisme dalam perspektif lebih besar bukan hanya melibatkan satu kaum atau puak sahaja, tetapi secara keseluruhannya. Kita tidak merelakan apa sahaja bentuk ekstrimisme sama ada berbentuk radikal atau liberal," katanya.

Asyraf Wajdi berkata melalui prinsip itu negara dibangunkan secara holistik, bukan sahaja dari segi prasarana, tetapi ekonomi negara turut memastikan rakyat tidak hidup sengsara dalam keadaan kemiskinan dan mendapat peluang pendidikan secara saksama.

"Ini perkara-perkara asas. Jika kita lihat punca keganasan dan ekstrimisme yang berlaku di dunia hari ini ialah apabila perut diikat (kemiskinan) dan pendidikan tidak begitu baik, akhirnya dia terdorong untuk terjebak dalam sesuatu yang tiada nilai kemanusiaan mahupun keagamaan," katanya.

-- BERNAMA