Sekurang-kurangnya tiga maut manakala 12 lagi jatuh sakit selepas dijangkiti wabak listeria yang melanda seluruh Australia.

Pihak berkuasa kesihatan negara itu berkata, wabak itu dikaitkan dengan buah tembikai wangi yang ditanam di New South Wales, dalam satu kenyataan di laman web rasminya.

Identiti syarikat pengeluar masih dirahsiakan identitinya dan difahamkan telah menghentikan operasi pengeluaran bagi membantu siasatan dijalankan.

Berdasarkan laporan NSW Health, kesemua mangsa merupakan warga emas dan wabak itu telah merebak dari Victoria hingga ke Tasmania.

"Kami mengesahkan bahawa 13 daripada 15 kes mengalamai gejala dan jatuh sakit selepas memakan tembikai wangi.

"Orang ramai yang mudah terdedah kepada penyakit listeriosis harus membuang buah tembikai wangi yang dibeli sebelum 1 Mac," kata Pengarah Penyakit Berjankit NSW Health, Vicky Sheppeard.

Pihaknya juga memberi jaminan bahawa semua tembikai wangi yang tercemar telah ditarik balik dari pasaraya.

Orang ramai yang mengalami simptom seperti selesema, loya, cirit-birit digesa mendapat rawatan di hospital atau klinik secepat mungkin.

Bakteria listeria mudah menjangkiti mereka dengan daya ketahanan badan yang lemah seperti warga emas, bayi baru lahir dan wanita hamil.

Jenis makanan yang terdedah kepada listeriosis termasuk semua jenis tembikai yang dipotong, salad sejuk, makanan laut mentah, ikan salmon salai, produk susu tidak dipastur dan cendawan mentah, menurut laporan Pihak Kesihatan Makanan New South Wales.