SUDAH terhantuk, kini terngadah – itulah tindakan sistem perundangan dan keselamatan United Kingdom yang memberi respons segera selepas tikaman pengganas yang bergerak bebas secara sah meragut nyawa di London Bridge Jumaat lalu.

Nama rakyat UK berketurunan Pakistan – Usman Khan, 28; akan terpahat dalam lipatan sejarah perundangan, membuktikan seseorang pengganas yang sudah didapati bersalah perlu dihukum seberat mungkin. Jika tidak hukuman bunuh, paling ringan penjara buat selama-lamanya.

Kes Usman – yang turut maut, ditembak mati oleh polis setelah berlaku pergelutan di tempat kejadian; dengan serta-merta menjadi bahan kempen pilihan raya UK yang sedang rancak berjalan.

Parti Buruh pimpinan Jeremy Corbin teruk dikecam Boris Johnson yang menggunakan peristiwa itu mengukuhkan reputasi parti Konservatif sebagai parti perundangan dan keselamatan.

Rekod jenayah Usman, dan rentetan pendakwaan serta penahanannya atas kesalahan keganasan memberi petunjuk bagaimana Akta Pengadilan Jenayah (yang diperkenal kerajaan Buruh pada 2005) menjadi punca utama pengganas mampu hidup bebas.

Usman menjalani hukuman jel pada tahun 2012 setelah didapati bersalah terlibat dalam komplot cuba menyerang London Stock Exchange.

Pada asalnya, Usman dikenakan hukuman jel minimum lapan tahun. Hukuman ini tidak boleh diubah selagi tidak mendapat persetujuan Lembaga Parol yang perlu yakin pesalah tidak mengancam keselamatan apabila dibebaskan.

Peruntukan perundangan berubah pada 2013 apabila Mahkamah Rayuan mengubah hukuman itu kepada tahanan tetap berjumlah 16 tahun – bermakna Umar Khan layak dibebaskan selepas menjalani separuh dari hukuman yang dikenakan. Ini bermakna Umar layak bebas hanya selepas lapan tahun menjalani hukuman.
Umar dibebaskan bersyarat (under license) pada Disember tahun lepas. Usman dibiar bebas, tanpa menjalani sebarang usaha diradikalisasi.

Belum cukup setahun bebas, Umar mengganas.

Peristiwa tikaman maut London Bridge mempunyai pengajaran bagi sebarang usaha menggubal undang undang anti-keganasan di negara kita sendiri.

Kalangan ahli Parlimen di barisan kerajaan giat dalam usaha mahu menggubal undang-undang anti-pengganas yang dianggap kejam.

Peruntukan yang terkandung dalam SOSMA yang menggantikan ISA dikira tidak mengambil kira hak asasi kemanusiaan melibatkan peranan peguam dan jangka masa tahanan.

Di samping SOSMA, wujud POTA (Akta Pencegahan Keganasan – Prevention of Terrorism Act) yang melibatkan tahanan sehingga dua tahun mereka yang dianggap terlibat dengan keganasan.

Dengan kepulangan beberapa warga Malaysia yang terlibat dengan kegiatan IS atau Daish di Syria, wajar apa yang berlaku di London Bridge menjadi pengajaran dan landasan bagi pihak keselamatan dan perundangan negara.