TIKET untuk menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan Republik Singapura ke-50 dijual sehingga SG$400 (kira-kira RM1,120) di internet.

Menurut laporan The Straits Times, 100,000 tiket berkenaan diberikan secara percuma menerusi proses undian rambang untuk acara pratonton pada 1 Ogos dan acara sebenar pada 9 Ogos.

Penjualan semula tiket berkenaan adalah dilarang, namun beberapa individu menggabungkannya dalam satu pakej bersama produk mereka pada harga mencecah SG$400 (kira-kira RM1,120).

Tahun ini, beberapa tiket dijumpai di laman web Carousell. Pada tahun 2012 dan 2013, tiket perarakan Hari Kebangsaan Republik Singapura boleh didapati di laman web eBay dan Craigslist.

Sambutan Hari Kebangsaan ke-50 Republik Singapura pada 9 Ogos dijangka meriah dengan pelbagai acara dijadual diadakan sepanjang tahun bersesuaian dengan kempen Singapore50, atau #SG50.