Timbalan Menteri Kesihatan Iran disahkan positif COVID-19 ketika negara itu mencatatkan 15 orang kematian akibat wabak berkenaan.

Iraj Harirchi dilihat berpeluh dan batuk beberapa kali semasa sidang media di Tehran pada Isnin.

"Saya dijangkiti COVID-19. Saya mengalami demam pada malam tadi dan ujian awal menunjukkan saya positif.

"Saya dikuarantin dan menjalani rawatan," kata Harirchi dalam satu video yang disiarkan menerusi sebuah saluran televisyen.

Selain Harirchi, seorang lagi ahli parlimen Iran turut disahkan positif.

"Saya disahkan positif COVID-19. Saya tidak mempunyai banyak harapan untuk meneruskan kehidupan," tulis Mahmoud Sadeghi di Twitter.

Dalam mesej yang sama, beliau meminta ketua badan kehakiman Iran agar melepaskan tahanan politik bagi menghalang mereka daripada dijangkiti dan membenarkan mereka menghabiskan masa dengan keluarga mereka.