Hujan yang tidak lebat tidak banyak membantu dalam memadamkan kebakaran yang terjadi di beberapa titik lokasi di hutan hujan Amazon.

Reuters melaporkan, dengan trend taburan hujan yang tidak sekata sehingga 10 September, ia dijangkakan tidak membawa sebarang berita yang melegakan , kata pakar cuaca.

Hutan hujan paling luas di dunia itu kini semakin diancam api yang marak dengan rekod titik kebakaran terus meningkat. Bagaikan raksasa yang memusnahkan hamparan hutan, titik kebakaran sepanjang tahun ini sahaja sudah meningkat ke 79 peratus, menurut agensi pemantau.

Api yang memusnahkan itu tidak hanya terbatas di Brazil, apabila sekurang-kurangnya 10,000 kilometer persegi kawasan hutan di Bolivia, yang berdekatan sempadan Paraguay dan Brazil, turut terbakar.

Pandangan udara menunjukkan kemusnahan kawasan hutan Amazon akibat kebakaran di Porto Velho, Rondonia, Brazil. - Reuters

Kerajaan Brazil cuba meneruskan inisiatif memadamkan kebakaran, dengan menggerakkan pasukan anggota keselamatan dan pesawat-pesawat tentera. Bagaimanapun, usaha itu hanya mampu mengawal kebakaran di kawasan kecil. Kebakaran yang lebih besar hanya dapat dipadam dengan hujan lebat.

Musim hujan di Amazon diramal bermula pada penghujung September, dan untuk berkembang menjadi hujan lebat yang menyeluruh, ia mengambil masa berminggu-minggu.

Setakat ini, ramalan cuaca menunjukkan hujan lebat dalam tempoh 15 hari ke depan hanya berlaku di kawasan yang tidak berlaku banyak kebakaran.

Dalam perkembangan lain, Brazil dilaporkan telah menolak tawaran berjumlah sekurang-kurangnya AS$20 juta daripada kumpulan tujuh anggota negara terkaya (G7) dalam usaha untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Respons yang aneh daripada Presiden Jair Bolsonaro itu meningkatkan tanda tanya tentang keutamaan kerajaan Brazil dalam menyelesaikan isu kemusnahan khazanah negara berkenaan.

Tawaran bantuan daripada Presiden Perancis Emannuel Macron dalam sidang kemuncak G7 di Biarritz pada Isnin, yang ditolak Bolsonaro, menjelaskan lagi hubungan yang dingin antara kedua-dua pemimpin itu.

BACA: Hutan hujan Amazon terus terbakar, jutaan spesies istimewa berdepan kemusnahan

BACA: Hutan Amazon terbakar ekoran tindakan Presiden Bolsonaro utamakan pembangunan