Amerika Syarikat (AS) didakwa menolak permohonan visa yang dikemukakan seorang anggota tertinggi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), lapor agensi berita Anadolu.

"Sah! Permohonan visa saya telah ditolak. Tiada alasan diberikan.

"Pilih mana-mana yang berikut: Usia saya lebih 70-an merupakan seorang nenek, saya telah menjadi aktivis Palestin sejak akhir 1960-an; seorang penyokong penuh penentangan tanpa keganasan," tulis Hanan Ashrawi dalam tweetnya pada Isnin.

Kesnya sama seperti yang berlaku kepada pengasas gerakan Boikot, Nyahlabur dan Sekatan, Omar Barghouti yang dihalang daripada memasuki AS.

AS mengambil beberapa langkah untuk mengasingkan rakyat Palestin, termasuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, memotong ratusan juta dolar bantuan kepada rakyat Palestin serta mengarahkan misi diplomatik PLO di Washington ditutup.

"Saya harap seseorang dapat menjelaskan perkara ini kepada cucu-cucu saya dan semua ahli keluarga saya di sana," kata Ashrawi.




-- BERNAMA