“SAYA berasa amat sedih sekali melihat seorang kanak-kanak di meja bedah dengan kecederaan vaskular yang serius,” kata Dr Adib Khanafer sambil menitiskan air mata.

“Peluru tersebut mengenai pada saluran darah dan amat sukar untuk dirawat. Peluru telah merosakkan pelvis dan bahagian arteri di bawah terpotong,” kata Dr Adib menerusi laporan Stuff NZ.

Pakar vaskular di Hospital Christchurch itu berkata demikian pada satu sidang media di Christchurch pada Rabu, menceritakan keadaan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang dirawatnya susulan serangan pengganas di masjid 15 Mac lalu.

Dr Adib, bapa kepada empat orang anak berumur antara tujuh dan 14 tahun, berkata ketika menjalankan tugasnya, beliau membayangkan anak itu adalah anaknya.

"Saya berjaya melakukan kerja saya dan mengawal emosi. Saya berjaya merawat kecederaan di arteri itu. Ia pastinya kemuncak kerjaya saya," kata Adib, seorang Muslim berketurunan Arab yang dilahirkan di England.

Kanak-kanak tersebut, Alen Alsati, kemudiannya dipindahkan ke hospital kanak-kanak di Auckland bersama bapanya yang menjalani rawatan rapi di sebuah hospital di Auckland.

Bapanya, Wasseim Alsati, juga cedera dalam insiden tragedi solat Jumaat itu. Dia ditembak tiga kali dan turut menjalani beberapa pembedahan.

Dr Adib berkata, dia mengenali dua orang yang terkorban dalam serangan di masjid itu, salah seorang daripadanya merupakan pesakitnya.

Kejadian di dua masjid di Christchurch pada Jumaat minggu lalu mengorbankan 50 nyawa dan mencederakan lebih 50 orang, majoritinya umat Islam yang sedang bersedia untuk mengerjakan solat.

Suspek, Brenton Tarrant, warga Australia berusia 28 tahun, seorang pengamal 'white supremacist' yang tinggal di Dunedin, New Zealand, telah didakwa di mahkamah.