Berita  | Dunia

Tragedi solat Jumaat: 40 terkorban dalam tembakan rambang Christchurch

Tragedi solat Jumaat: 40 terkorban dalam tembakan rambang Christchurch
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengesahkan jumlah kematian dalam satu sidang media yang disiarkan secara langsung di saluran TV tempatan (NZ) dan Astro AWANI. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sekurang-kurang 40 orang terkorban dalam tembakan rambang yang berlaku di dua buah masjid di Christchurch sewaktu solat Jumaat hari ini.

Daripada jumlah tersebut, dianggarkan 30 kematian direkodkan daripada salah satu masjid tersebut.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengesahkan jumlah kematian dalam satu sidang media yang disiarkan secara langsung di saluran TV tempatan (NZ) dan Astro AWANI.

Beliau menyifatkan kejadian tersebut sebagai serangan pengganas.
Setakat ini tiga ditahan oleh pihak berkuatkuasa New Zealand.

Pesuruhjaya polis New Zealand, Mike Bush menggesa orang ramai agar tidak mengunjungi mana-mana masjid hari ini.

BACA: Apa yang kita tahu setakat ini mengenai tragedi solat Jumaat Christchurch

BACA: 'Dia masuk masjid, tembak jemaah'

BACA: Bintang All Blacks, Sonny Bill Wiliams, bersedih atas insiden di Christchurch

Sehingga kini polis belum dapat mengesahkan identiti mangsa yang terlibat dalam serangan itu berikutan lokasi tembakan masih ditutup.

Polis juga telah menubuhkan kemudahan khusus bagi menyediakan maklumat di sekitar kawasan tembakan dan meningkatkan aspek keselamatan di sekitar bandar.

Mengulas lanjut, Bush berkata beliau tidak dapat mengesahkan mengenai kehadiran penyerang lain tetapi sehingga kini tiada maklumat lanjut berhubung perkara itu.

“Saya mahu memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kami melakukan segala yang kami boleh untuk memastikan tiada bahaya kepada komuniti setempat.

“Sudah tentu pegawai kami akan mempunyai akses serta-merta terhadap peralatan yang mereka perlukan untuk menjaga keselamatan diri mereka,” jelasnya.