Pesuruhjaya Polis New Zealand Mike Bush menasihatkan rakyat negara itu supaya mengelakkan diri daripada mengunjungi mana-mana masjid di New Zealand buat sementara waktu, bermula malam ini, lapor NZ Herald.

Dalam kejutan insiden tembakan rambang di Christchurch hari ini, yang mengakibatkan kematian dan kecederaan, Bush menyeru orang ramai supaya tidak berada berdekatan kawasan masjid.

“Saya meminta sesiapa sahaja yang berhajat untuk ke masjid di mana-mana lokasi pun di New Zealand supaya tidak meneruskannya. Tutup pintu kediaman anda sehingga arahan seterusnya daripada pihak polis,” ujar Bush.

Bush mengesahkan serangan itu menyebabkan sejumlah kematian.

Tambahnya, setakat ini empat suspek serangan telah ditahan termasuk seorang wanita.

Kematian dilaporkan di dua lokasi iaitu Masjid Al Noor di Deans Ave, dan Masjid Linwood di Linwood Ave.

“Sekali lagi, kami belum mengesahkan jika insiden seumpamanya berlaku di lokasi lain.

“Kami telah menggerakkan setiap anggota polis di sekitar Canterbury dan kami juga dalam proses mengerahkan setiap anggota polis di seluruh negara supaya menjaga keselamatan orang awam,” tambah Bush.

Moath Owaidah, dari New Zealand Islamic Union Trust, berkata para jemaah di masjid Al Maktoum berdekatan Lapangan Terbang Auckland baru saja keluar dari masjid selepas solat Jumaat ketika mereka menerima khabar tentang serangan itu.

"Kami mula menerima panggilan daripada komuniti Islam. Mereka sangat terkejut dan bimbang pada apa yang berlaku. Ini suatu yang mereka tidak jangkakan di New Zealand,” ujar Owaidah.