Wajah seorang lelaki yang terkorban ketika insiden serangan pengganas di masjid Al Noor, Christchurch diabadikan di dalam sebuah mural di sini.

Lukisan mural oleh artis New Zealand, Paul Walsh itu terletak di tempat letak kereta di 1925 Great North Rd, di Avondale, Auckland.

Menurut Walsh, ia sebagai memberi penghormatan kepada Naeem Rashid, 50, salah seorang mangsa serangan keganasan pada Jumaat.

Naeem ketika kejadian berada di masjid itu cuba menghentikan pengganas Brenton Tarrant, tetapi Naeem terbunuh ketika cuba menyelamatkan nyawa yang lain.

Anaknya Talha Naeem, 22, turut menjadi korban.

Walsh memuat naik foto hasil seni mural beliau di entri Facebook pada Isnin.

Beliau menjelaskan makna di sebalik warna latar belakang hijau dan hitam pada mural itu sebagai mewakili negara Pakistan dan New Zealand yang sama-sama berkabung.

"Seorang pengecut telah mengubah segala-galanya, dan saya terpaksa memberi respon dengan satu-satunya cara yang saya tahu untuk menghormati kehidupan rakan-rakan New Zealand saya yang tidak berpeluang kembali pulang ke rumah pada Jumaat,” jelas Walsh.

Sementara itu, Perdana Menteri Pakistan Imran Khan berkata beliau bangga dengan tindakan Rashid dan ingin mengiktiraf wira itu dengan anugerah wira kebangsaan.