Tutup

Berita  | Dunia

Tragedi Sri Lanka: Saksi panjat bumbung selepas dengar letupan

Tragedi Sri Lanka: Saksi panjat bumbung selepas dengar letupan
Polis memeriksa salah satu lokasi dalam siri lapan letupan yang berlaku ketika sambutan Hari Easter di Sri Lanka. -AP
COLOMBO: Saksi kejadian letupan di Sri Lanka berkongi detik cemas ketika mendengar lapan siri letupan yang menyasarkan gereja dan hotel di negara itu, pada Ahad.

Penduduk Colombo, Asela Waidyalankara berkata dia mendengar letupan kuat sebelum bertindak memanjat ke atas bumbung.

Katanya, dia melihat kepulan asap di udara susulan letupan tersebut.

Menurut Waidyalankara, dia mendengar tujuh letupan, yang mana berlaku di rumah tetamu di pinggir bandar Dehiwala, berhampiran taman zoologi.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Colombo, Mangala Karunaratne berkata ketika kejadian, dia keluar membeli barangan keperluan.

Katanya, dia bagai tidak percaya insiden serangan itu boleh berlaku kerana setelah berpindah ke Colombo selepas perang saudara, Sri Lanka disifatkannya sebagai sebuah negara yang aman.
Karunaratne berkata orang ramai sudah biasa dengan letupan sepanjang 30 tahun perang saudara, tetapi selepas 10 tahun negara itu mengecapi keamanan, insiden ini disifatkan sebagai mengejutkan.

Dalam siri lapan letupan yang berlaku ketika sambutan Hari Easter itu, sekurang-kurangnya 207 terbunuh, manakala 450 lagi cedera.

Kerajaan Sri Lanka telah mengenakan perintah berkurung di seluruh negara dengan serta-merta dan menghalang akses kepada semua media sosial.

Setakat ini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.