DONALD Trump mengumumkan akan mengemukakan peraturan baharu yang mungkin menghapuskan undang-undang yang melindungi syarikat media sosial, termasuk Twitter dan Facebook.

Ia sebahagian daripada Perintah Eksekutif yang ditandatangani Presiden Amerika Syarikat itu pada tengah hari Khamis.

Namun tindakannya itu dilihat mempunyai agenda politik kerana Trump menyasarkan untuk mengumpul penyokong selepas beliau mengecam Twitter kerana meletakkan label 'semak fakta' pada dua ciapannya sebelum ini.

Dakwa Trump, label 'semak fakta' itu adalah keputusan editorial oleh Twitter dan bermotifkan politik.

Syarikat itu sepatutnya tidak kebal daripada undang-undang untuk kandungan yang disiarkan di platform mereka, tegasnya.

BACA: Trump ancam ambil tindakan terhadap syarikat media sosial

Trump yang secara peribadi sangat bergantung kepada Twitter untuk mengeluarkan kenyataan terhadap lawannya, sudah lama menuduh gergasi teknologi itu bersikap liberal dan menyasarkan konservatif dengan tindakan meletakkan label 'semak fakta' atau memadam ciapan mereka.

Perintah Eksekutif Trump itu membolehkan beberapa agensi penggubal peraturan termasuk Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan dan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan mengkaji sama ada mereka dapat meletakkan peraturan baharu kepada syarikat sosial media.

Syarikat seperti Twitter dan Facebook diberi perlindungan liabiliti mengikut Seksyen 230 Akta Komunikasi kerana dianggap sebagai platform dan bukan penerbit yang boleh menghadapi tuntutan undang-undang kerana kandungan.

Trump dan pasukan kempennya bertindak balas setelah Twitter melabelkan dua ciapannya sebagai 'tidak berasas' dan mengaitkan ciapan beliau sebagai cuba melakukan dakwaan palsu

Dua ciapan Trump itu pada Selasa lalu adalah berkaitan pendapatnya yang tidak disokong bukti sahih yang mengaitkan undian melalui pos akan menyebabkan berlakunya penipuan.

Di bawah ciapan itu, Twitter mengeluarkan hantaran dengan pautan 'dapatkan fakta mengenai undian pos', sehingga pengguna media sosial lain turut mengeluarkan komen dakwaan itu sebagai tidak berasas.